Friday, July 22, 2011

Kajian Tindakan Bahasa Melayu (Penulisan Bahagian C) Tahun 6, SK Kerupang

Kajian tindakan ini telah dibentang  di Seminar Penyelidikan Pendidikan, Jabatan Pelajaran WP.Labuan

 Pada 21 Julai 2011 hingga 23 Julai 2011
di Bilik Rafflesia Tingkat 1, Kompleks Ujana Kewangan 
dianjurkan oleh Sektor Jaminan Kualiti,
Jabatan Pelajaran WP. Labuan.

Monday, March 29, 2010

Kalau Sudah Rezeki

KALAU SUDAH REZEKI

“Siapa yang mahu mengisi borang permohonan masuk ke Maktab Perguruan??? Aku ada borang lebih ni,siapa mahu?” seorang rakan sebilikku melaung-laung ke arah aku dan rakan-rakan sebaik saja dia masuk ke bilik sambil mengibar-ngibar borang yang sedang dipegangnya seolah-olah mengibar bendera Malaysia sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Negara.

”Mintalah, aku mahu cuba isi.”jawabku selamba dan tiada kesungguhan. Rakanku menyerahkan borang itu kepadaku tanpa bantahan daripada rakan-rakan lain yang berkumpul di dalam bilik pada petang itu.

Ketika itu, aku masih menuntut dalam tingkatan lima di sebuah sekolah berasrama iaitu Sekolah Menengah Kuhara Tawau, Sabah. Aku berasal dari Pulau Sebatik, dalam daerah Tawau juga. Memandangkan aku mendapat keputusan Kepujian ‘ A ‘ maka melayakkan aku melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama tersebut.

“Aku hanya cuba-cuba, manalah tahu ada rezeki!” ujarku kepada rakan-rakan sebilikku.

Beberapa bulan kemudian dalam tahun yang sama, aku menerima surat panggilan temu duga. Aku dikehendaki menghadiri temu duga guru di Pejabat Pelajaran Tawau bermula pukul 8.00 pagi pada hari Selasa (aku tak ingat tarikhnya).

“Teacher, boleh saya keluar esok pagi untuk menghadiri temu duga guru?” aku memberanikan diri untuk meminta kebenaran daripada warden asrama puteri sekolahku sambil menunjukkan surat tersebut kepadanya.

Kami penuntut di asrama ketika itu memang senang memanggil ‘teacher’ pada warden kami kerana beliau mengajar Bahasa Inggeris dalam kelas kami. Beliau berbangsa India. Tinggi lampai orangnya dan hitam manis kulitnya. Teacher masih bujang waktu itu. Saya dan rakan-rakan sekelas memang mesra dengannya.

Teacher tidak banyak soal, dia seolah-olah memahami harapanku lalu tanpa banyak pertanyaan, dia membenarkan aku keluar dengan syarat , mesti ditemani oleh seorang rakan perempuan untuk keselamatan.

Mujurlah seorang murid tingkatan 2, bersedia menemaniku. Setelah mendapat kebenaran, kamipun keluar dari asrama lebih kurang pukul 7.00 pagi. Hujan rintik-rintik pagi itu tidak menjadi penghalang bagiku untuk meneruskan hajatku. Kami melalui jalan belakang asrama kemudian menaiki teksi untuk mempercepat perjalanan kami. Hanya mengambil beberapa minit untuk sampai di Pejabat Pelajaran ( Pusat Temu duga Guru ) ketika itu.

Aku masih ingat lagi waktu itu, aku memakai baju kurung berwarna coklat gelap pemberian ibuku. ” aku mesti berpakaian kemas dan sopan.” bisik hati kecilku.

02

Satu demi satu calon temu duga kelihatan keluar dari bilik temu duga. Tiba giliranku, aku mesti buat yang terbaik. Manalah tahu,nasib menyebelahiku. Aku serahkan kepada Allah segala-galanya kerana aku yakin, Allahlah yang mengatur rezeki hambanNya di muka bumi ini. Bisik hati kecilku.

“Silakan duduk saudari.” pelawa salah seorang daripada barisan penemu duga yang duduk agak jauh di hadapanku.

“Kenapa saudari memohon untuk menjadi guru?” seorang penemu duga mula melontarkan pertanyaan. “Saya memang berminat untuk menjadi seorang guru.” jawabku tanpa ragu-ragu.

“Sekiranya murid-murid berbuat bising semasa saudari sedang mengajar, apakah tindakan yang sesuai saudari ambil?” satu lagi pertanyaan yang begitu mencabar bagiku yang diajukkan oleh salah seorang daripada pasukan penemu duga berkenaan.

“Saya akan mendekati dan menasihati murid-murid saya.” jawabku macam orang yang berpengalaman. Satu demi satu persoalan dilontar kepadaku sehinggalah cara-cara memasak nasi kuningpun diajukkan kepadaku. Pelik! Tidak kena- mengena langsung.Memang ‘Nasi Kuning’ ialah satu daripada makanan paling popular di daerah Tawau hingga kini. Nasib baik aku pernah membantu ibu memasak nasi kuning, berjaya juga akhirnya aku menangkis soalan mereka tanpa teragak-agak. “Oh, mungkin mereka hendak menguji kelancaranku semasa menjawab pertanyaan mereka!” aku menjawab sendiri persoalan itu.

Masa berlalu begitu cepat, pada cuti akhir tahun, aku telah mendapat sepucuk surat bersaiz besar yang tertulis ‘ URUSAN KERAJAAN’. Syukur Alhamdulillah, aku telah terpilih mengikuti kursus perguruan selama 3 tahun di Maktab Perguruan Kent Tuaran, Sabah.

“Kau benar-benar nekad hendak menjadi seorang guru?” ayah ingin tahu perasaanku. Aku diam.

Rupa-rupanya ayah berhasrat ingin menghantar aku mengikuti kursus dalam bidang perniagaan anjuran MARA bertempat di Kuala Lumpur ketika itu. Ayah mahu aku meneruskan kariernya sebagai seorang peniaga Bumuputera . Aku mengakui, ayahku adalah seorang peniaga yang berkaliber dan dihormati di kampungku.Ayah selalu menyertai Kursus-kursus perniagaan anjuran MARA di daerah Tawau dan Kota Kinabalu. Kali ini ayah mahu memberi peluang kepada aku pula agar menyertai kursus seumpama itu.

“Aku berterima kasih kepadamu ayah. Kau telah mengorbankan harapanmu semata-mata memenuhi hasrat anakmu ini.” bisik hati kecilku.

Ayahlah yang membantu aku mengurus segala dokumen perjanjian dan mendapatkan tandatangan serta pengesahan daripada wakil rakyat di Tawau ketika itu, semata-mata hendak memenuhi syarat kemasukan ke maktab perguruan seperti yang dikehendaki.Ayah memang biasa benar dengan beberapa orang wakil rakyat di daerah Tawau.Aku kagum dengan kelebihan ayah.

03

Setelah tiga tahun berlalu, dengan izin Allah jualah, akhirnya aku berjaya menamatkan tempoh pengajianku. Aku ditempatkan di Sek. Ren. Keb. Bukit Quoin, lebih kurang 32 batu dari Bandar Tawau. Keadaan laluan ke kawasan penempatanku berbatu-batu dan berhabuk. Kiri kanan jalan raya hanya dipenuhi dengan pokok kelapa sawit dan pokok-pokok koko.

“Wah,jauhnya tempat ini, sunyi lagi tu!” terpacul keluar kata-kata itu dari mulutku sebaik kami sampai di tempat yang dituju.

Ayah dan seorang adik perempuankulah yang menghantar aku ke sekolah penempatanku sehari sebelum buka sekolah iaitu pada 6 Januari 1982. Aku mendaftar menjadi guru di sekolah berkenaan pada 7 Januari 1982. Bermulalah karierku sebagai seorang GURU pada tarikh itu.

Aku ditempatkan di sebuah rumah guru berhampiran sekolah tempat aku ditugaskan. Aku tinggal bersama tiga orang rakan guru perempuan. Seorang berasal dari Ranau, Sabah dan dua orang guru agama dari Kedah dan Kelantan.

Kawasan penempatanku tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Setiap pagi dan petang, kami kena turun ke sungai dengan menyusuri semak-samun dan pokok-pokok besar untuk mandi dan mencuci pakaian. Air sungai di situ sejuk dan sungguh jernih sekali. Beberapa ekor kera sering kelihatan bergayutan pada pohon-pohon kayu di situ tanpa menghiraukan kehadiran kami. Adakalanya kera-kera itu turun ke sungai dan meminum air di sungai itu.

Tangki kecil yang dibekalkan bagi setiap rumah guru bertujuan untuk menampung air hujan bagi keperluan makan dan minum sahaja. Itupun kalau musim hujan. Kalau musim kemarau, kami kenalah membawa pinggan mangkuk ke sungai untuk dicuci dan mengangkat air sungai untuk kegunaan memasak.

Namun, aku sudah biasa dengan keadaan begitu kerana aku juga berasal dari sebuah pulau yang tidak ada kemudahan air dan elektrik. Semua itu tidak menghalang dan menggugat tanggungjawab yang diamanahkan kepadaku. Aku kena tabah menempuh semua dugaan itu.

Aku ditugaskan sebagai guru kelas tahun 1 B , mengajar Bahasa Melayu dan Matematik di kelas berkenaan. Ketika itu, kelas tahun satu ada tiga kelas iaitu 1 A, 1 B dan 1 C. Pada masa itu murid tahun satu, bukan macam sekarang yang mempunyai asas Pra sekolah. Boleh dikatakan hampir semua murid

yang diamanahkan kepada kami, guru-guru tahun satu ketika itu tidak tahu membaca dan ada juga yang buta huruf, langsung tak kenal huruf. Tambahan pula, latar belakang ibu bapa mereka adalah pekerja estet atau ladang kelapa sawit dan koko.Mereka ditempatkan di rumah-rumah kongsi yang disediakan oleh pihak estet serta jauh daripada kemudahan prasarana. Kebanyakan murid-murid di sekolah itu hanya berjalan kaki dan menaiki lori untuk pergi dan balik dari sekolah.Inilah misi utama yang harus aku laksanakan sebagai seorang guru.

Aku cuba memanfaatkan segenap keupayaan dan ilmu keguruan yang aku timba ketika mengikuti kursus perguruan di maktab sebelum ini.

Pada tahun 1983, pelancaran Kursus KBSR bagi tahun 1 telah dilaksanakan di seluruh negara. Aku dikehendaki mengikuti kursus tersebut yang berpusat di SMK Kuhara Tawau selama seminggu.

04

Apa lagi, inilah peluang keemasan aku untuk menimba ilmu bagi mendidik murid-murid tahun 1.

Sepanjang kursus, pelbagai teknik, strategi dan taktik untuk membolehkan murid-murid tahun 1 menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Aku betul-betul teruja dan seronok sepanjang kursus itu kerana pengisian kursus itu betul-betul menepati tugasku.

Pertengahan tahun, bulan Jun tahun itu, beberapa orang pegawai dan nazir dari Jabatan Pelajaran Tawau melawat ke sekolah kami, mereka mahu melihat sejauh manakah perlaksanaan KBSR di peringkat sekolah dilaksanakan.

“Cikgu, boleh saya melihat Buku Rekod Pengajaran cikgu?” Seorang nazir meminta Buku Rekod Pengajaranku lalu mengekoriku masuk ke bilik darjah 1B.

“Selamat pagi, cikgu.” murid-murid Tahun 1B berdiri lalu mengucapkan salam kepadaku sebaik saja aku melangkah masuk ke kelas pada awal pagi itu.

“Silakan duduk tuan.” pelawaku kepada nazir yang sedang berdiri di muka pintu sambil memerhati keseluruhan sudut kelas 1B ketika itu.

Memang aku sudah nekad, aku mesti melakukan sesuatu yang terbaik untuk kelasku demi anak didik yang diamanahkan kepadaku. Hampir keseluruhan bilik darjah 1B telah aku penuhi dengan bahan bantu mengajar. Manakala hasil tugasan murid-murid pula, aku gantung pada beberapa utas tali rafia yang aku rentang merentasi ruang atas bilik darjah. Aku yakin, murid-murid tahun satu tentu berbangga apabila melihat hasil tugasan mereka dipamerkan oleh guru. Sudut-sudut bacaan pula aku letak pelbagai kad-kad gambar, perkataan dan ayat-ayat untuk aktiviti pemulihan dan pengukuhan.

Selain itu, setiap hari terutama selepas waktu rehat, aku tugaskan beberapa orang murid yang pandai secara bergilir-gilir membantu rakan-rakan mereka yang masih lambat menguasai kemahiran mengeja dan membaca dengan bahan-bahan bacaan yang aku pamerkan untuk pengukuhan di sudut bacaan dalam bilik darjah.

“Cikgu, murid-murid di kelas 1B ini semuanya boleh membaca dan menjawab soalan-soalan yang cikgu kemukakan berbanding kelas 1A dan 1C. Mereka sangat pandailah cikgu seperti murid-murid bandar.”

Jelas nazir yang memantau kelasku sambil menghulurkan semula Buku Rekod Pengajaran kepadaku.

Aku bersyukur kehadrat Allah atas kekuatan yang dianugerah kepadaku. Memang aku mengakui kata-kata nazir itu, sehinggakan ada antara guru tahun 1 yang lain berkecil hati apabila kelas mereka di banding-bandingkan dengan kelasku. Pelbagai lagi tuduhan yang tidak berasas yang aku dengar ketika itu. Mengikut cerita, kepandaian murid-murid di kelas 1B disebabkan aku memilih murid-murid yang sedia pandai masuk ke kelasku.

Pada hakikatnya, kemasukan murid-murid tahun satu ketika itu tidak bergantung pada sebarang kelebihan atau kekuatan kerana mereka tidak ada asas PRA sekolah seperti hari ini. Aku sendiripun tidak tahu tahap keupayaan murid-murid itu sebelum aku mengajar mereka. Kami, guru-guru tahun satulah yang memainkan peranan untuk membolehkan mereka menguasai kemahiran asas membaca,menulis dan mengira pada masa itu.

05

“ Cikgu, ini pemberian emak saya .” seorang murid lelaki menghampiriku lalu menyerahkan sebungkus hadiah kepadaku.

“Eh, apa ini?” tergamam aku seketika, apabila murid lelaki itu menghulurkan bungkusan hadiah kepadaku pada pagi itu.

“Kami baru balik dari Indonesia, cikgu. Emak belikan baju tidur ini untuk cikgu.” jelas murid lelaki itu sambil memandang wajahku.

“Kenapalah bersusah payah belikan hadiah untuk cikgu? Cikgu tak mengharapkan apa-apa hadiah, cukuplah kamu belajar bersungguh-sungguh supaya kamu menjadi pandai dan berjaya nanti, kejayaan kamu itulah hadiah bagi cikgu.”jelasku .

“Sampaikan salam cikgu kepada emak kamu, cikgu mengucapkan terima kasih, mudah-mudahan ibu bapa kamu dimurahkan rezeki.” balasku sebaik menerima pemberiannya itu.

Sebilangan besar murid-murid di sekolah ini memang berasal dari Indonesia. Namun, keluarga mereka sangat menghormati guru-guru yang mendidik anak-anak mereka. Kalau pergi berziarah ke rumah mereka,layanan yang diberikan sungguh baik sekali. Pelbgai juadah dihidangkan untuk kami.Aku kagum dengan keprihatinan mereka.

Itulah antara kenangan manis dan pahit yang tidak dapat aku lupakan sepanjang aku berkhidmat di sekolah luar bandar itu.

Pada penghujung tahun 1985, aku bertemu jodoh dengan rakan setugasku di sekolah yang sama. Selepas berkahwin, aku mengikuti suamiku berpindah ke Labuan pada awal tahun 1986. Aku ditempatkan di Sek. Keb. Kerupang hinggalah ke hari ini. Setakat ini,aku tak pernah lagi memohon pertukaran ke mana-mana sekolah yang lain.

Di Sek. Keb. Kerupang, aku ditugaskan mengajar tahun 2 Merah. Dua tahun kemudian aku ditugaskan pula mengajar tahun 4 Merah. Aku mengajar hampir semua subjek kecuali Pendidikan Agama Islam dan Bahasa Inggeris. Setelah 3 tahun mengajar tahun 4, aku diarah oleh guru besar agar mengikuti murid murid tersebut hingga ke tahun 6 . Sebelum terbinanya Sek.Keb.Pantai dan Sek.Keb.Tanjung Aru, bilangan murid tahun 6 di Sek.Keb.Kerupang ketika itu terbahagi kepada 4 kelas iaitu 6 Merah, 6 Hijau, 6 Kuning dan 6 Biru. Aku pernah ditugaskan mengajar kesemua kelas / 3 kelas / 2 kelas tahun 6 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Cikgulah guru perempuan yang pertama mengajar murid-murid tahun enam di sekolah ini,”

jelas kawan-kawanku.

“Kenapa? Susah sangatkah mengajar tahun enam?” itulah persoalan yang bermain dalam kotak fikiranku.

“Aku akan cuba. Aku akan tunjukkan kepada semua guru bahawa mengajar murid-murid tahun enam bukanlah satu bebanan kalau kita ada kekuatan dan jati diri.” bisik hatiku.

Tahun 1993, aku mula mengorak langkah untuk membiasakan diriku dengan kemahiran-kemahiran yang perlu diterap kepada murid-murid tahun enam. Aku menawarkan diri mengajar kelas tambahan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu pada sebelah petang dan setiap hari Sabtu secara sukarela. Aku mula membimbing murid-murid tahun 6 yang berprestasi rendah terutama pada waktu rehat.

06

Aku bekalkan mereka kad-kad bacaan pada setiap hari sebagai bahan bacaan di rumah. AJK Panitia Bahasa Melayu ketika itu juga bekerjasama dalam melaksanakan program-program yang dirancang khusus untuk tahun enam.Kami menjadikan Bengkel Penulisan UPSR sebagai aktiviti tahunan sekolah kami.

Walaupun mengajar tahun enam memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, namun, impaknya menjadi satu hadiah dan ganjaran yang paling berharga dan bernilai bagiku dan sekolahku. Keputusan UPSR menjadi kayu pengukur untuk menilai maju mundurnya sesebuah sekolah.

“Tahniah cikgu,kerana mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun 1994 peringkat negeri Sabah.” Ucap guru besar sambil menghulurkan sepucuk surat kepadaku ketika aku dipanggil ke biliknya.

”Mengapakah aku yang dipilih? Bukankah ada guru lain yang lebih rajin dan aktif daripada aku ? Aku tak layak menerima anugerah ini cikgu! Aku tak mahu anugerah ini menimbulkan persoalan dan pertikaian dalam kalangan rakan guru di sekolah ini.” aku merayu minta agar guru besar pertimbngkan keadaan sebenar. Aku tahu, ketika itu ada seorang guru perempuan yang mengharapkan anugerah cemerlang kerana penglibatannya dalam aktiviti kokurikulim.

“Cikgu, kalau kita pakai baju, orang lainlah yang boleh menilai baju yang kita pakai itu sama ada cantik ataupun sebaliknya.Bukan kita yang boleh menilainya. Mungkin bagi kita, baju yang kita pakai itu cantik tetapi tidak bagi orang lain.” Jelas Penolong Kanan Pentadbiran untuk memberikan keyakinan kepadaku.

Aku cuba menghayati maksud kata-kata yang begitu dalam maknanya itu.

Majlis Anugerah Guru Cemerlang kali kedua dilancarkan di seluruh negara pada ketika itu. Sehari sebelum majlis penganugerahan itu, aku dan beberapa orang guru lain dari Labuan kena bertolak ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menjalani raptai. Kami menempah bilik hotel.

Upacara penganugerahan itu disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr.Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 15 Julai 1994 pukul 8.00 malam di Dewan Perdana MUIS,Kota Kinabalu Sabah.

Setelah lulus PTK 2006,barulah aku layak dinaikkan pangkat ke DGA 32 secara KUP ‘TIME BASED’ 2007.

Pada 22 Mei 2008, sekali lagi aku terpilih menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Peringkat Labuan yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Mohammad Zaki Bin Mohd Yussof, Pengarah Pelajaran W.P.Labuan. Majlis bermula pada pukul 11.00 pagi bertempat di Bilik Multipurpose,Sek.Men.Sains, W.P.Labuan. Pencalonan kali ini hanya layak setelah keputusan PTK melepasi tahap yang dikehendki.

Gred DGA 32 yang diberi kepadaku telah melayakkan aku meraih satu lagi tugas Khas iaitu (KUP) Guru Cemerlang ( Bahasa Melayu ) yang berkuatkuasa pada 16 Julai 2008.Walaupun aku berasa tidak layak berada dalam kategori ini,namun demi kepercayaan yang diberi kepadaaku , aku akan cuba mempertingkatkan mutu kerjayaku yang masih serba kekurangan ini.

Itulah antara rentetan peristiwa yang telah aku lalui dan menjadi memori yang tidak mungkin aku lupakan..

“Pengalaman hari ini dan semalam jika diadun,ia menjadi sebati dan nikmatnya hanya kita yang tahu.”

Hasil karya,

‘Anak Pulau.’

Sunday, February 21, 2010

WELCOME

welcome to my blog, I just tried to create for all members. Thank you for visiting.
 

Blog Template by YummyLolly.com